lagu

Isnin, 6 Februari 2017

KRITERIA DAN KEPERLUAN UNTUK MENJADI WARTAWAN YANG PEROFESION

           (1) Tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan                               menghormati hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat                             yang benar.


Sebelum menjalankan tugas wartawan perlu mengetahui hak kebebasannya. Hak bagi wartawan menghadiri perbicaraan di mahkamah, mesyuarat dan persidangan sama sahaja dengan hak yang ada pada orang ramai. Jika meja dan kerusi disediakan khas untuk wartawan di sesuatu majlis ialah kerana penganjur atau pihak berkuasa menghargai peranan wartawan.
Kadangkala wartawan mendapat keistimewaan yang tidak diberikan kepada orang ramai. Misalnya, menghadiri mahkamah juvana. Ada wartawan mendesak supaya ia dibenarkan mengikuti perbicaraan juvana itu walaupun ia diberitahu tidak ada perkara penting yang hendak dilaporkan. Bagaimanapun, tuntutan itu dikemukakan sekadar mengingatkan pihak berkuasa tentang adanya hak wartawan.
Kadangkala wartawan dilarang menghadiri sesuatu majlis atau mesyuarat. Hal ini berlaku apabila majlis itu dikhaskan kepada ahli-ahli pertubuhan berkenaan.
Wartawan perlu mengetahui perbezaan antara mesyuarat terbuka kepada orang ramai dan mesyuarat terhad kepada ahli-ahli persatuan. Mesyuarat agung merupakan mesyuarat terhad dan pengerusi mesyuarat boleh membatasi kehadiran wartawan. Bagaimanapun, tindakan menghalang wartawan daripada menghadiri sesuatu perhimpunan terbuka kepada orang ramai adalah perbuatan menghalang wartawan daripada menjalankan tugasnya untuk kepentingan orang ramai.
Sesungguhnya, tidak ada pihak yang mahu menghalang wartawan menghadiri mesyuarat atau perhimpunannya kecuali ada sesuatu yang hendak dirahsiakan kepada orang ramai.

(2) Dalam melaksanakan tugasnya dia menghayati kebebasan                                   memungut dan   menyiarkan berita secara jujur serta berhak                                 membuat ulasan dan kritikan yang saksama.
Kebebasan memungut dan menyiarkan berita sering dikaitkan dengan kebebasan akhbar. Definisi kebebasan adalah berbeza dari suatu Negara dengan negara yang lain mengikut keadaan setempat. Sebenarnya tidak ada kebebasan akhbar secara mutlak. Kebebasan akhbar di Malaysia ialah kebebasan yang disertai dengan tanggungjawab terhadap negara dan masyarakat, sesuai dengan prinsip dan semangat Rukun Negara.
Kebebasan akhbar secara mutlak tanpa rasa tanggungjawab boleh mengancam kestabilan negara terutama apabila media menyalahgunakan kebebasannya dan setelah pemikiran dan pandangan masyarakat menjadi tidak menentu akibat daripada kebebasan akhbar yang ekstrim dan melampau.
Media di Barat, terutama sekali, giat memperjuangkan prinsip kebebasan akhbar sedangkan mereka belum pasti dapat mengamalkan apa yang diperjuangkan kerana mereka pasti akan mempertahankan dasar dan kepentingan pemilik medianya atau untuk kepentingan golongan yang diwakilinya.
Dalam menghayati kebebasan akhbar wartawan hendaklah membuat ulasan dan kritikan membina dan saksama supaya kritikan itu tidak melulu dan dianggap bermuslihat.

Dalam keghairahan wartawan melaporkan berita perlu diingat adanya beberapa akta seperti Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan, Akta Fitnah dan lain-lain yang ada kaitan secara langsung dengan profesion kewartawanan.

(3) Wartawan hendaklah menggunakan cara yang wajar untuk                                     mendapatkan berita, gambar, filem dan dokumen.
Pelbagai cara boleh digunakan untuk mendapatkan berita selagi cara yang dijalankan itu wajar dan untuk kepentingan orang ramai. Wartawan yang menyamar ketika mencari berita hendaklah menghormati batas kesopanan dan kuasa undang-undang. Menyamar sebagai pegawai polis atau tentera atau doktor dan sebagainya bukanlah cara yang wajar kerana profesion yang disamari mempunyai bidang kuasa dan peraturan tertentu bagi penyandangnya.
Ketika bertugas wartawan hendaklah mengenalkan diri dan nama akhbar yang diwakili sama ada ia diminta berbuat demikian atau tidak. Tujuannya untuk memberi keyakinan kepada orang yang ditemui supaya sedar bahawa ia berhadapan dengan wartawan ketika membuat keterangan.
Perbuatan menyamar diri kadangkala dilakukan wartawan apabila bertugas membuat laporan penyiasatan (investigative reporting) dan menghadapi kesulitan untuk mendapat fakta-fakta yang perlu dan penting bagi melengkapkan kandungan laporannya. Banyak berita yang menggemparkan dihasilkan oleh wartawan bertugas secara menyamar.
Bagaimanapun, sedapat mungkin elakkanlah perbuatan menyamar ketika bertugas kecuali dalam keadaan tertentu atau terdesak.
Dalam mencari berita wartawan mempunyai hak yang sama pada orang ramai. Kesalahan melanggar kawasan (trespassing), misalnya, meliputi semua orang termasuk wartawan, kecuali mereka yang diberi kebenaran.
Dalam suatu kemalangan jalan raya misalnya, wartawan bergerak bebas menjalankan tugasnya di kawasan kemalangan sedangkan orang ramai biasanya dilarang berbuat demikian. Tetapi wartawan sayugia faham bahawa ia, seperti jua orang ramai, tanpa kebenaran khas dan bergerak bebas di kawasan kemalangan itu mungkin kerana pihak
Berkuasa menghargai peranan media untuk menyampaikan maklumat yang benar kepada orang ramai. Pihak berkuasa boleh menghalang wartawan memasuki kawasan larangan jika dirasakan perlu.
Di kawasan terbuka kepada orang ramai wartawan boleh bergerak bebas menjalankan tugas tanpa perlu mendapat kebenaran. Wartawan foto juga berhak untuk merekodkan peristiwa yang berlaku di kawasan umum (public area) tanpa diganggu atau dihalang.

Objek yang menjadi fokusnya hanya boleh melindungkan diri tetapi tidak boleh bertindak menghalang wartawan daripada menjalankan tugasnya, misalnya, dengan menutup lens foto atau merampas atau memusnahkan kamera wartawan. Jika mereka berbuat demikian wartawan terlibat boleh membuat aduan polis. Begitu juga dengan wartawan yang dikasari hingga cedera untuk menghalang mereka daripada membuat liputan.

(4) Sebarang maklumat tersiar yang didapati tidak benar dan tepat                             hendaklah diperbetulkan.
Adalah menjadi tanggungjawab wartawan dan media untuk membetulkan sesuatu kesilapan dalam laporannya dengan segera lebih-lebih lagi kesilapan yang serius sama ada setelah mengetahui kesilapannya itu atau setelah ada permintaan pihak yang terlibat.
Keikhlasan dan kejujuran wartawan dan medianya menyiarkan sesuatu berita pembetulan dapat diukur dari kesediaannya mengakui kesilapan yang dilakukan secara tidak sengaja (in good faith)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan